Minggu, 26 Juli 2009

Baha'iyah/Babiyah

Baha'iyah merupakan satu aliran sesat yang terkeluar dari Islam. Ia telah menjadi satu agama baru yang asing dari agama Islam. Ia adalah pecahan dari Syiah Imamiyah.

Pengasas Asal Agama Baha'iyah
Agama Bahaiyah diasaskan oleh Mirza Ali Muhamad al-Syirazi. Beliau lahir di Iran sekitar tahun 1152 H/1820 M. Pada asalnya beliau merupakan pengikut mazhab Syiah Imamiyah. Beliau bersikap melampaui batas mazhab Syiah Imamiyah, sehingga digabungkan mazhab berkenaan dengan mazhab Syiah Ismailyiah dan fahaman hulul yang sesat serta menyimpang dari ajaran Islam.

Hulul ialah satu fahaman yang mempercayai bahawa Tuhan menjelma pada makhluknya. Fahaman ini dianuti oleh golongan Saba'iyah.

Ramai dari kalangan penduduk Farsi dari kalangan penganut mazhab Imamiyah yang tertarik dengan ajaran Mirza Ali Muhamad.

Ajaran Agama Baha'iyah
Antara pengakuan-pengakuan Mirza Ali Muhamad yang sesat ialah:
1 . Mengaku bahawa dirinya (Mirza Ali Muhamad) adalah sebagai penyambung suara imam yang tersembunyi. Maksud imam di sini ialah imam Syiah Imamiyah yang keduabelas, iaitu imam Muhamad bin Asyakir. Imam ini dikatakan sebagai telah hilang, dan akan muncul kembali pada akhir zaman sebagai imam al-Mahdi.
2 . Dirinya sebagai pintu kepada imam. Dengan ini beliau bergelar `al-Bab'.
3 . Beliau mendakwa telah memindahkan ilmu imam ke dalam dirinya.
4 . Beliau mendakwa sebagai imam al-Mahdi.
5 . Mendakwa bahawa Allah telah menjelma di dalam dirinya. Dirinya telah dipilih oleh Allah untuk menampakkan diriNya kepada makhluk.
6 . Beliau mendakwa bahawa pada akhir zaman nanti, bukan setakat nabi Isa a.s. sahaja yang akan kembali ke dunia, tetap juga nabi Musa a.s.

Kemudian beliau mengemukakan akidah-akidah dalam agamanya, iaitu:
1 . Tidak mempercayai tentang wujudnya kiamat, syurga tempat pembalasan bagi orang beriman dan neraka tempat siksaan orang yang engkar. Beliau menyatakan bahawa pertemuan dengan Allah di akhirat kelak adalah simbol terhadap kehidupan kerohanian yang baru.
2 . Beliau mengisytiharkan bahawa dirinya adalah jelmaan sebenarnya dari semua nabi yang terdahulu. Semua risalah yang dibawa oleh nabi-nabi bersatu dalam dirinya. Sebab itulah semua ajaran agama bertemu di dalam dirinya. Oleh itu beliau mengatakan bahawa semua gama itu adalah sama sahaja.
3 . Kepercayaan terhadap hulul, iaitu Allah menjelma di dalam dirinya secara langsung.
4 . Beliau tidak mengakui bahawa risalah yang dibawa oleh Nabi Muhamad adalah risalah terakhir.
5 . Beliau sentiasa menyebutkan kumpulan huruf-huruf dan hitungan angka untuk masing-masing huruf. Menurut pendapatnya, angka-angka tertentu mempunyai pengaruh tertentu. Contoh, angka sembilan belas (19) mempunyai kedudukan khusus yang tinggi.
6 . Beliau menetapkan bahawa Wanita sama taraf dengan lelaki dalam masalah warisan dan lainnya.

Mirza Ali Muhamad telah membukukan pendapat-pendapat sesatnya di dalam buku bernama al-Bayan.

---------
Kematian Mirza Ali Muhamad dan penggantinya
Sebelum meninggal dunia Mirza Ali Muhamad telah memilih dua orang pengikutnya sebagai penggnati. Mereka ialah Subh `Azal dan Baha'ullah.

Subh `Azal dan Baha'ullah telah dibuang negeri dari Farsi. Subh 'Azal dibuang ke Cyprus dan Baha'ullah di satu wilayah di Turki. Pengikut Baha'ullah lebih ramai berbanding dengan pengikut Subh 'Azal.

Baha'ullah
Nama agama Baha'iyah di ambil sempena nama Baha'ullah. Kadangkala dinisbahkan kepada gelaran pengasasnya al-Babiyah.

Antara kesesatan ajaran yang dibawa oleh Baha'ullah:
1 . Membawa kesesatan yang sama dengan gurunya Mirza Ali. Dan Beliau mengaku bahawa kedudukan dirinya setaraf dengan gurunya. Bahkan didakwa lebih agung dari gurunya.
2 . Beliau mengaku bahawa Tuhan telah menjelma di dalam dirinya. Beliau adalah sebagai penyempurna ajaran yang telah dibawa oleh gurunya.
3 . Beliau menggelar dirinya sebagai `Mazharullah' atau `Manzhurullah'. Iaitu Tuhan menjelma dalam pemunculannya dengan keelokan zat ketuhanan, di mana keelokan itu tidak dapat ditandingi oleh kecantikan wajah perempuan. Dari itu, para pengikutnya melihat Baha'ullah bukan sebagai manusia biasa.
4 . Beliau telah membukukan ajaran syiriknya. Di dalamnya menentang al-Quran dan buku gurunya al-Bayan. Buku yang paling terkenal ialah al-Aqdas. Antara dakwaan sesat yang terkandung di dalam buku berkenaan:
a . Isikandungannya diwahyukan Allah kepadanya.
b . Beliau kekal bersama kekalnya zat Allah.
c . Buku berkenaan mewakili seluruh ilmu ketuhanannya, tetapi masih ada ilmu lain yang khusus diberikan kepada para sahabat pilihannya. Selain dari mereka tidak ada yang dapat menerima dan mempraktikkan ilmu kebatinan ini.

Antara seruan Baha'ullah yang penting ialah:
1 . Beliau berpendapat bahawa apa yang diserukannya merupakan agama baru yang bukan Islam.
2 . Membuang semua ikatan keislaman, sehingga aliran ini tidak ada kena mengena dengan agama Islam.
3 . Ia menyamaratakan semua manusia yang berlainan warna kulit, agama dan isi ajarannya.
4 . Beliau mencipta undang-undang keluarga baru serta menentang undang-undang keluarga Islam.
5 . Beliau menghapuskan sembahyang berjamaah kecuali sembahyang jenazah.
6 . Ka'bah bukanlah kiblat para pengikutnya. Kiblat mereka ialah tempat di mana Baha'ullah duduk.
7 . Hukum-hakam syarak dalam jual beli dibatalkan oleh beliau.
8 . Beliau menyerang para ulamak Islam, para pendeta Kristian dan Yahudi.

Kematian Baha'ullah dan Penggantinya
Baha'ullah mati pada bulan May tahun 1892. Agamanya Baha'iyah telah diganti oleh anaknya Abbas Afandi. Beliau digelar sebagai Abdul Baha' atau Ghusn A'zhom (cabang mulia).

Abbas tidak seperti ayahnya yang mengajarkan ajaran penjelmaan tuhan di dalam diri. Beliau lebih menumpukan kajian terhadap kita-kitab suci Yahudi dan Kristian untuk dipelajari.

Jika Mirza Ali Muhamad sebagai pengasas agama Baha'iyah telah menghancurkan Islam atas nama pembaharuan, maka penerusnya iaitu Baha'ullah telah menyempurnakannya dengan mengingkari dan membuang seluruh ajaran Islam. Manakala Abbas pula merasakan tidak cukup dengan hanya membuang ajaran Islam, lalu beliau pergi kepada kitab-kitab suci Yahudi dan Kristian untuk mengambil ajarannya sebagai ganti dari al-Quran.

Siapakah Penganut Agama Baha'iyah
Oleh kerana Abbas menyandarkan agama Baha'iyah kepada kitab suci Yahudi dan Kristian, maka ramailah penganut-penganut agama Yahudi, Kristian dan Majusi yang terpengaruh dengannya.

Guru pertama dan kedua agama Baha'iyah telah gagal dan kecewa mempengaruhi kaum muslimin. Dan guru ketiganya telah beralih arah untuk mempengaruhi para penganut agama Yahudi, Kristian dan Majusi.

Pusat Agama Baha'ullah
Agama Baha'ullah telah berkembang di Amerika Syarikat. Markaz utamanya ialah di Chicago.

Pandangan Islam Terhadap Agama Baha'iyah
1 . Agama Baha'iyah adalah satu agama baru yang tidak ada kena mengena dengan Islam. Ia bukan satu mazhab dari mazhab-mazhab Islam, samada mazhab yang benar atau yang sesat.

2 . Berdasarkan kepada isikandungannya yang mengandungi kesyirikan, maka sesiapa yang mempercayainya dianggap telah murtad dari agama Islam - Na'uzubillahi Min Zalik.

3 . Islam adalah agama yang berdasarkan kepada prinsip tauhid kepada Allah yang Maha Esa. Islam menolak dengan tegas fahaman syirik seperti Allah menjelma di dalam diri seseorang.

4 . Nabi Muhamad adalah penutup segala rasul-rasul. Tidak ada rasul yang akan dibangkitkan selepas itu. Dengan berakhirnya pengutusan rasul dan nabi, maka berakhir juglah penurunan wahyu dari Allah Taala. Oleh itu barangsiapa yang mendakwa dirinya sebagai rasul atau menerima wahyu dari Allah, maka dakwaan itu adalah dakwaan yang paling dusta.

5 . Al-Quran adalah penutup segala kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah. Ia adalah mukjizat tentang kebenaran pengutusan Muhamad sebagai Rasulullah. Al-Quran adalah terpelihara dari penyelewengan sehingga hari kiamat. Undang-undang dan hukum-hakam yang ada di dalamnya sesuai untuk setiap zaman dan keadaan. Ia tidak boleh diubah oleh sesiapapun. Oleh itu barangsiapa yang mendakwa bahawa ada kitab suci lain setelah al-Quran, maka dia adalah pendusta. Begitu juga dengan mengingkari salah satu dari hukum-hakamnya, maka dia telah terkeluar dari ajaran Islam yang suci.

6 . Segala ilmu mengenai tauhid dan syariat Islam telah sempurna diturunkan oleh Allah melalui perantaraan nabi Muhamad s.a.w.

Oleh itu adalah tidak benar jika ada orang yang mendakwa bahawa ada ilmu lain mengenai tauhid dan syariat yang tidak diberitahu kecuali orang-orang tertentu sahaja. Dan Rasulullah s.a.w. sendiri adalah bersifat dengan sifat Tabligh dan Amanah. Tidak mungkin Baginda s.a.w. menyembunyikan syariat Allah dari pengetahuan umatnya.

7 . Sebagai umat Islam, kita hendaklah sentiasa berpegang teguh kepada isi ajaran al-Quran dan Sunnah NabiNya. Kita tidak boleh mensyirikkanNya, menerima sebahagian serta mengingkari sebahagiannya, atau menolak semuanya.

8 . Sentiasalah berusaha dan berdoa agar Allah tidak memesongkan keimanan kita.
(http://members.tripod.com/ahkam_2/FIRQAH/bahaiyah.html)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar